Siaran Akhbar

Bandar Seri Begawan - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) selaku peneraju perlaksanaan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), akan melaksanakan Projek Rintis PKBN mulai bulan depan.

Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair Haji Abdullah (gambar) berkata projek rintis itu akan diadakan sebanyak tiga sesi bermula 4 Disember 2011 sehingga 25 Februari 2012, 1 April hingga 23 Jun 2012 dan 10 Disember sehingga 2013.

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata, matlamat PKBN ialah untuk meningkatkan semangat patriotik, beriltizam dan berdaya tahan di kalangan belia selain bagi mengukuhkan kesefahaman yang terkandung dalam perlembagaan Negara dan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), ke arah melahirkan belia beriman dan bertakwa serta membantu dalam membentuk perwatakan yang positif.

Sepanjang latihan itu para pelatih akan didedahkan dengan aktiviti-aktiviti yang mencabar dan lasak menjurus kepada konsep berpasukan. Mereka juga akan didedahkan kepada aspek kehidupan bermasyarakat di samping menanamkan semangat jati diri dengan menjurus kepada pembinaan kesedaran diri serta membantu belia memperkembangkan kualiti peribadi seperti beriltizam dan berani, cekal dan berkeyakinan.

Projek Rintis PKBN akan dijalankan di dua lokasi iaitu Perkampungan Sukan Brunei Muara dan Outward Bound Brunei Darussalam Daerah Temburong.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menekankan, di perkampungan Sukan, aspek-aspek keselamatan menjadi keutamaan seperti memasang pagar di sekeliling asrama wanita dan juga menyediakan pengawal keselamatan di pintu masuk setiap blok asrama berkenaan.

"CCTV dipasang pada setiap blok dan sudut-sudut tertentu bagi memantau pergerakan setiap pelatih dan mereka yang berkenaan. Manakala, di Outward Bound Brunei Darussalam Daerah Temburong, pengawal-pengawal keselamatan akan ditempatkan di samping memohon kerja-sama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei dalam membantu pengawalan pelatih di sepanjang mereka berada di OBBD," jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

Menurutnya, pelatih yang akan dipilih adalah belia berumur 16 hingga 18 tahun, terdiri daripada penuntut-penuntut sekolah yang menunggu keputusan 'O dan 'A' level, para belia fakir miskin dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, para belia di bawah kawalan Jabatan Belia dan Sukan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Para pelatih yang mengikuti program PKBN akan diberikan kemudahan elaun bulanan sebanyak $100 dan disediakan pakaian seragam seperti pakaian trek, baju T, seluar panjang sukan, topi, kasut but dan kasut sukan dan juga barang keperluan seharian. Bagaimanapun, sebelum mengikuti program PKBN, para pelatih terlebih dahulu akan menjalani pemeriksaan kesihatan untuk memastikan sama ada mereka mampu dan layak untuk menyertai program tersebut.

Para ibu bapa akan berkesempatan untuk menemui anak-anak mereka dalam sesi Hari Keluarga diadakan seminggu sekali di tempat dan masa yang ditetapkan. Projek Rintis mengandungi empat komponen iaitu komponen Jati Diri dan Kenegaraan, Komponen Latihan Disiplin dan Fizikal, komponen Keusahawanan dan komponen Khidmat Komuniti.

Dalam komponen pertama, Jati Diri dan Kenegaraan, para pelatih akan didedahkan dengan aspek kehidupan bermasyarakat di samping menanamkan semangat jati diri yang menjurus kepada pembinaan kesedaran diri serta membantu belia memperkembangkan kualiti peribadi. Dalam komponen Keusahawanan pula, pelatih akan didedahkan dengan pengetahuan dalam bidang keusahawanan seperti asas perniagaan, pengurusan kewangan dan sebagainya manakala dalam komponen Khidmat Komuniti, para pelatih akan dilatih agar dapat mempertingkatkan semangat sukarelawan selain memupuk semangat perpaduan melalui kerja-kerja kemasyarakatan serta menanamkan rasa bersama.

 

 Kembali Ke Atas

Hubungi Kami

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat, sila hubungi kami di alamat berikut:

Ibu Pejabat
Program Khidmat Bakti Negara [PKBN]
Kementerian Kebudayaan, Belia Dan Sukan
Blok 18 Simpang 32-15
Flat Kerajaan Anggerek Desa
Berakas BB3713
Negara Brunei Darussalam

Telefon : +673 234 0045
Fax: +673 234 1722
Email: khidmatbaktinegara@kkbs.gov.bn